03 November 2013

Syukur Kini Aku Menutup Aurat!

Detik waktu yang semakin hari semakin membuka mata aku yang sedikit sepet ini untuk melihat betapa indahnya wanita yang menutupi auratnya dan melabuhkan pakaiannya di hadapan ajnabi. Aku masih samar dan hampir setahun lebih mencari identiti diri dengan membandingkan diri aku dengan wanita-wanita muslimah yang lain.
“Ya Allah, bagaimanakah dia boleh berpakaian menutup aurat begitu, sedangkan aku masih berpakaian membalut aurat?”
“Aku nak pakai cantik-cantik la, biar jejaka-jejaka hensem melihat dan mengetahui kewujudan aku.”
“Aku nak hias elok-elok la sikit sebab nak jumpa kekasih hati aku.”
“Eh, dia tu pakai baju besar-besar tak rimas ke?”
Dan banyak lagi kenyataan dan persoalan yang dituturkan dalam minda dan hati aku.

Astaghfirullahalaziim… begitu kolot pemikiran aku.

Aku pernah terfikir untuk mencuba berubah dan berhijrah menutup aurat dengan sempurna setelah masuk ke alam kampus. Namun, aku terlalu mengikut kata hati yang kadangkala membuat keinginan berubah itu menjadi mati.

Fikiran aku terus berputar mengatakan bahawa, jika aku ingin berubah untuk menutup aurat dengan sempurna, seluar jeans yang baru dibeli macamana? Baju-baju kesayangan tak dapat dipakai lagi, dan sewaktu dengannya. Tanpa aku menyedari, Allah telah membuka pintu hati aku secara perlahan-lahan, memberi taufik dan hidayah-Nya untuk mengubah cara berpakaianku seperti wanita muslimah yang ingin mencari syurga yang abadi.

iluvislam, hijab

Dan aku yakin, segelintir kaum hawa yang menangguh untuk berubah adalah disebabkan tidak bersedia untuk beristiqamah, kerana perangai yang kurang elok, dan rasa sayang terhadap pakaian yang baru dibeli, mahal dan cantik.
Wahai kaum hawa, berdoalah agar dibukakan pintu hati untuk menutup aurat dengan sempurna, berkorbanlah walau kalian sayang dengan pakaian mahal, sendat, cantik dan seumpama itu. Percaya dan yakinlah bahawa, pengorbanan itu tidaklah sia-sia melainkan pelbagai limpahan ganjaran yang akan Allah hadirkan nanti.
Memang ramai yang terfikir :
“Tutup aurat je, perangai tak tahulah; lebih daripada setan.”
“Harap je tutup melitup, perangai tak senonoh, ketawa berdekah-dekah.”
“Kalau aku nak berubah pakai elok-elok, aku nak ubah perangai dulu.”
Wahai sekalian sahabat-sahabat, perangai susah nak berubah. Kalau la nak tunggu perangai berubah dulu, kita tak tahu bila la nak dapat tutup aurat seperti garis panduan Islam. Buka minda kita, cuba berfikir secara logik, sekiranya kita cuba untuk menutup aurat dengan sempurna, dengan izin Allah, secara perlahan-lahan perangai yang buruk tadi akan turut berubah ke arah yang lebih baik. insyaAllah. Sama-sama kita doakan.

Hadirnya aku di sini, ingin cuba membuka mata kaum hawa yang aku cintai, sedarlah kita hidup cuma sementara, mati tak tahu bila, ajal masa mana pun boleh tiba. Berubahlah sebelum terlambat, berkorbanlah kerana pengorbanan itu harus dikorbankan.

Untuk apa?? Untuk menggapai redha Ilahi.

Untuk siapa?? Untuk Pencipta kita yang seharusnya kita patuhi.

Mengapa?? Kerana itu dituntut dalam Islam agama yang kita anuti.

Dan mengapa?? Kerana kita sememangnya hamba ALLAH, yang seharusnya minda dan hati selalu ingat Ilahi.

Alhamdulillah aku berubah kerana Allah. Allah telah hadirkan seseorang sahabat kepada aku yang dulunya berpakaian ‘rockers’ dan secara drastiknya dia memakai tudung bulat labuh. SubhanAllah, aku mengagumi kekuatan yang Engkau berikan kepada dirinya.

Lantas mindaku berputar ligat berfikir, “Dia boleh berubah, kenapa tidak aku?”

Aku mengumpul segala kekuatan, berubah kerana Allah, Allah lah yang menciptakan sekalian makhluk, kenapa tidak kita berkorban kerana-Nya? Sungguh banyak nikmat yang diberikan, tidakkah kita rasa betapa sayangnya Dia pada kita.

Diri ini bukanlah sempurna sangat tapi  mencuba untuk menyampaikan apa yang Allah suruh dan aku cuba untuk menyampaikan dakwah walaupun hanya sedikit.  Sudah jelas dalam Al-Quran, Allah menyuruh hamba-Nya menutup aurat, bukan membalut aurat.
“Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu. Tetapi, pakaian takwa, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.” (Al-A’Raf: 26)
Sekiranya kita sendiri mengkhianati diri kita, dan membuat kezaliman terhadap diri kita, maka siapa akan menolong kita nanti.
“…Wahai manusia! Sesungguhnya kezalimanmu bahayanyaakan menimpa dirimu sendiri; itu hanya kenikmatan hidup duniawi, selanjutnya kepada kamilah kembalimu, kelak akan kami kabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Yunus: 23)
Marilah berubah wahai kaum hawa. Tutuplah aurat dengan sempurnya. tak usah lah nak buka sini buka sana.

iluvislam, hijab

Dan… Al-Quran tidak ada keraguan padanya. Takutlah pada azab Allah. Cuba tutup aurat dengan sempurna, insyaAllah akan ada perubahan yang baik terhadap sesuatu yang lain.
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 2)

Sweetnya Allah

Suatu hari di kantin, rakan-rakan sibuk gosipkan diriku dengan seorang guru lelaki satu ‘batch’ induksi. Masing-masing tidak membantah kerana daerah yang sama dengan tempat aku mengajar.

Tapi takdir Allah, ada seorang guru yang aku panggil dengan panggilan ‘akak’ menyapa.
“Akak tak kisah dengan siapapun awak akan pilih, tapi satu pesan akak apa yang kita inginkan mintalah dengan Dia dalam solat dhuha. Buatlah solat dhuha dan khabarkan hajat itu padaNya.”
Aku terdiam. Setelah lama berfikir akhirnya tergerak hati ini untuk tunaikan solat dhuha. Selama ini aku sekadar membaca kelebihan orang yang tunaikan solat dhuha.

Sweetnya Allah dia sampaikan hidayah kepadaku melalui orang lain. Kini, impian untuk mendirikan rumahtangga telah tertunai meskipun bukan dengan lelaki tersebut.

Jam menunjukkan pukul 2 pagi, terdengar suara rengekan si kecil Zahra tanda lapar. Lantas aku bangkit untuk bancuh susu. Terdetik di hati kalaulah aku tunaikan solat tahajjud sementara menunggu Zahra habiskan susu lagi baik. Mungkin ini panggilan dari Allah untuk hamba yang dikasihiNya.

Sweetnya Allah dia kejutkan hamba-Nya untuk bangun malam dengan cara yang cukup lembut. Adakalanya kita bangun di tengah malam untuk buang air kecil dan lapar, itulah tandanya Allah bangunkan kita untuk merintih dan mengadu pada-Nya. Namun seringkali kita alpa dan lupa.

tumblr_mhejsngjj01s3janfo1_500

Seperti biasa aku menjalani rutin harianku setiap hujung minggu untuk memandu  balik ke Terengganu berjumpa suami dan anak.  Sesungguhnya hati manusia ini sering berbolak balik.

Terdetik juga di hati kenapa aku tidak mendapat peluang seperti orang lain hidup bersama-sama suami dan anak-anak. Teringin sekali masak menu kegemaran mereka untuk makan tengahari dan malam. Menghabiskan waktu petang bersama-sama.

Tapi sweetnya Allah dia ingin tarbiyyah diriku dengan sifat sabar. Tanda kasih sayang-Nya kepada hamba. Barulah aku terfikir Allah rindu akan rintihanku. Mungkin apabila bersama dengan orang yang aku sayangi, masa untuk aku mengadu pada-Nya lebih singkat dari biasa.

Sweetnya Allah aku diajar  untuk menjadi seorang yang redha dengan ujian-Nya. Aku manfaatkan masa sepanjang perjalanan selama enam jam itu untuk berzikir dan berdoa kepada-Nya agar kami diberikan kesempatan untuk hidup bersama. Dengan imtihan ini aku kenal erti kasih sayang,lebih menghargai,bersyukur, perikemanusiaan dan sabar.
“… dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah, ayat 216)
Adakalanya kita persoalkan mengapa harus kita yang diuji dengan kesusahan dan kesakitan. Tapi pernahkah kita persoalkan mengapa kita yang harus mendapat kejayaan dan kenaikan pangkat ini, bukan orang lain?

Sweetnya Allah dia uji hamba-Nya untuk meningkatkan keimanan dan menghapus dosa-dosa silam jika kita redha dengan ujiannya. Di setiap kepahitan pasti ada kemanisannya.
“… di setiap kesulitan pasti ada kesenangan… di setiap kesulitan pasti ada kesenangan.” (Surah Al-Insyirah)
Kehidupan manusia di bumi tidak ubah seperti seorang pengemis. Yang sentiasa meminta pada Ya Wahab agar menunaikan segala kehendak kita. Sikap manusia yang sentiasa merasa ingin lebih dan tidak cukup menyebabkan kita sering meminta-minta.

Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki kerana nikmat yang ada pada kita adalah pinjaman Allah yang akan dipertanggungjawabkan di padang Masyar kelak.
iluvislam, alhamdulillah

Nikmatnya Perpisahan Insan ‘Bercouple’

“Aku memang sangat mencintainya. Tapi aku terpaksa ‘clash’ dengan dia..”

“Kenapa pulak?”

“Sebab aku selalu ingat dia sampai aku selalu lupa Allah.”

“Pergh.. terbaiklah bro! Alhamdulillah..”

Beruntung siapa dapat kekasih sepertinya. Bayangkanlah.. tentu dia sudah dapat merasai penangan cinta daripada Allah sehingga sanggup untuk berpisah dengan insan yang selalu disayanginya dengan cara yang salah.

Ya.. begitulah.. memilih untuk berpisah kerana Allah adalah keputusan yang sangat bijak. Itulah pilihan iman sebenarnya. Apabila menyedari diri sering terjebak dengan dosa ketika ber’couple’, iman yang ada dalam diri pasti akan menegur. Sangat terbaik orang yang sanggup menerima teguran daripada iman itu.

Cepat-cepatlah terima teguran iman di hati sebelum nafsu mengambil alih.
Sememangnya terbaik. Itulah keputusan yang membawa manfaat buat dirinya dan kekasihnya.

Bercintalah. Tapi buatlah keputusan untuk tidak ber’couple’. Selepas keputusan itu dibuat, akan berkurang atau tiada lagi episod-episod berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan, bermanja-manjaan, membuang masa bersama, tinggalkan solat bersama, dan macam-macam lagi yang tidak sepatutnya berlaku sebelum kahwin. Masing-masing terhindar daripada maksiat dan dosa.

Itu barulah ‘saling menyayangi’ namanya. Mahu berpegangan tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka? Tiada siapa yang mahu bersama ke Neraka bukan? Namun siapa yang betul-betul mahu
bersama hingga ke Syurga?

tumblr_mn6uwsupj71qapk2qo1_500

Kadang-kadang kita merasakan nikmat ber’couple’ itu terlalu indah. Lalu kita suka. Tapi sebenarnya itu hanya sangkaan. Mainan nafsu. Direct to the point, ber’couple’ (sebelum nikah) tidak baik untuk kita. Sebab itu Allah mengizinkan berlakunya ‘kehilangan’ atau perpisahan. Kerana ‘kehilangan’ atau perpisahan yang kita tidak suka itu sebenarnya baik untuk kita.
Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman;

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 216)

“Biarlah kita kehilangan si dia kerana Allah. Jangan kita kehilangan Allah kerana si dia.”
Marilah sama-sama kita renungkan… belum tentu pasangan kita itu adalah suami kita atau isteri kita.

Kita ‘bercouple’ bagai nak rak, tiap malam bergayut dengan suara manja tanpa kita menyedarinya, waktu pagi bertemu berkepit ke hulu dan ke hilir tanpa rasa bersalah, semuanya hanya keindahan yang sementara.

Jika pasangan kita itu ditakdirkan menjadi suami atau isteri kita, keindahan yang selalu kita nikmati di fasa sebelum pernikahan semakin suram. Jika dulu hampir setiap hari bertemu, namun setelah berada di alam pernikahan pandang pun menjadi jemu. Segala keindahan alam perkahwinan yang sepatutnya dinikmati di fasa tersebut turut hambar kerana sudah pun dirasai sebelum akad termeterai.

Tiada lagi kejutan mahupun ‘suprise’ yang membahagiakan kerana hampir kesemua telah kita hadam dan menjadi perkara biasa kepada kita.

Kesimpulannya, serahkan lah hati kita kepada Allah. Simpankan rasa itu semata-mata hanya untuk Allah SWT. Biarkan Allah temukan hati yang mencintai Allah itu dengan hati yang lain, yang mana hati itu juga turut mencintai Allah. Yakinlah, jika kita menghiaskan hati ini dengan cinta Allah, pasti cinta yang hadir itu sentiasa mekar dan tidak akan layu. Malah cinta itu pasti kekal sentiasa kerana sandarannya juga adalah Zat yang Maha Kekal.