Bismillahi Rahmani Rahim .
Assalamu'alaikum w.r.h , alhamdulillahi rabbil 'alamin . Bersyukurlah kita semua kepada Allah atas nikmat yang diberi olehNya sejak dulu hingga ke saat ini . Kalau nak diikutkan , sepatutnya sepanjang masa kita perlu bertasbih memuji dan mengEsakan Allah atas kurniaNya yang tak terhitung . Tapi sebaliknya yang selalu meniti di bibir kita adalah lagu Justin Bieber , Lady Gaga , Westlife , Eastlife , North , South dsb (penulis tak kenal pun mereka-mereka ni , main sebut je) . Jadinya , pergilah kat cermin-cermin berdekatan , cermin diri kita dan muhasabahlah diri .
Penulis sedikit terkilan dengan sesetengah sahabat , yang mengatakan qiamullail itu tak harus dipaksa , biarlah dibuat dengan kerelaan , takut nati tak ikhlas . Hmm , biar penulis beri analogi mudah untuk perkara ni .
Dalam kehidupan seharian kita , adakah kita betul-betul ikhlas dalm menunaikan solat 5 waktu ? Bagi yang mengiyakan di dalam hati , cuba tanya semula , seberapa ikhlaskah ikhlas anda itu ? Saat antum au antunna sedang tekun membuat sesuatu pekerjaan , kemudian bilal melaungkan azan , adakah dengan rela hati kita menunaikan solat ? Atau kita solat kerana terpaksa ? Kerana ianya suatu ketetapan ? Jadinya andai solat itu tak wajib , maka tak solatlah kita sepanjang hidup ?
Resolusinya ? Solat itu kita latih agar sebati dengan jiwa kita . Barulah datangnya keihklasan . Ikhlas itu tak ada siapa yang dapat mengukur dan menentukannya . Jadi , dengan cara berterusan melakukan sesuatu itulah yang akan mendatangkan keikhlasan . Sama juga seperti qiamullail . Andai tak dididik jiwa dan hati kita dengan qiamullail , tak mustahil sampai bila-bila pun qiamullail itu tak akan menjadi kebiasaan .
Seperti biasa , nak hurai panjang lebar , penulis tak ada ilmu yang cukup . Jadi penulis mencedoklah artikel dari web iluvislam . Moga kita dapat mengambil ibrah darinya .
MANISNYA TAHAJJUD .
"Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, disisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.
Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya.
Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t. Berkata Al Fudhail bin Iyadh, "Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!" Abu Sulaiman pula berkata, "Jikalau tidaklah kerana malam nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini."
Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya.
Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya.
Sabda Rasulullah bermaksud:
"Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka."
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur."
Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggal keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hamba-Nya yang menghidupkan malam.
Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia melakukannya.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah s.w.t nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas."
Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa."
p/s : Jom berlatih berqiamullail ! InsyaAllah suatu hari nanti generasi yang melazimi qiamullail akan kita lahirkan .
Wallahu'alam .
No comments:
Post a Comment