“Cinta bukan tujuan, tapi hanyalah jalan. Cinta itu bukan matlamat, tapi hanyalah alat…” – Ustaz A.Ubadillah AliasDahinya dikerutkan. Keningnya dirapatkan. Tanda dirinya sedang memikirkan sesuatu yang mengusik perasaan.
“Cinta bukan tujuan. Tapi jalan. Cinta bukan matlamat. Tapi alat..” Bait tinta itu bergema dalam sanubarinya.
“Apa ertinya?” Dia bermonolog.
Lama dia merenung. Sesekali, dia menghantar pandangan ke luar jendela. Dia menatap ke arah langit. Cerah. Subhanallah, indah ciptaan-Mu – Burung-burung berkicauan, tanda bertasbih kepada-Nya.
Sang unggas bernyanyi riang, tanda memuji kepada-Nya. Segala yang ada di langit mahupun di bumi sujud pada keEsaan-Nya. Dalam asyik dia merenung keindahan ciptaan Tuhan, ada sesuatu yang mengusik kalbunya.
Cinta.
Ya.
Dia tahu dia masih muda remaja. Dia tahu masih banyak tanggungjawab yang harus digalasnya. Dia tahu masih banyak impian yang belum diraihnya. Dia tahu, umi dan abinya mengharapkan sesuatu daripadanya. Dia tahu perjalanan hidupnya baru bermula. Dia tahu dia tidak seharusnya leka dalam cinta dunia. Dia tahu dan dia mengerti segala-galanya. Namun, entah mengapa setiap kali dia cuba mengusir satu rasa yang bertamu di dada, tiap kali juga dia kalah melawan perasaannya.
Ya Allah, begitu kuat rasa itu hadir ke dalam kalbunya.
Apa yang perlu dia lakukan? Langkah apa yang perlu dia aturkan? Strategi apa yang perlu dia rencanakan?
Segala-galanya kelihatan suram. Segala-galanya kelihatan tidak berjalan. Hatinya kembali rawan. Mengapa dirinya tidak mampu melawan? Mengapa perasaannya seringkali kecundang? Mengapa hatinya seringkali bermusuhan dengan apa yang dia fikirkan? Hati dan akalnya tidak sehaluan.
Dia tidak mahu lemas dalam dakapan cinta yang melekakan. Dia hanya mahu lemas dalam dakapan cinta Tuhan. Tapi, makin kuat dia mencuba, makin kuat pula dia diduga.
Dia tahu, dia harus kuat menghadapinya. Dia tahu, dia harus melawan rasa cinta yang bertamu dalam hatinya. Dia tahu, dia harus mengusir rasa cinta pada manusia. Mengusir cinta bukan bererti membenci. Tetapi lebih kepada menjaga jarak antara dirinya dan dia. Hatinya cuma ada satu. Dia tahu, sakit rasanya apabila terluka. Pedih rasanya apabila kecewa. Pasti, dia akan berduka. Lalu, amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya akan terbang dan hilang entah ke mana.
Dia harus memilih. Ya. Memilih sama ada dia mahu terus berfantasi atau menjejak realiti? Mahu terus berada dalam mimpi atau mahu menjejak bumi? Dia sedar. Cinta manusia itu adalah sesuatu yang tidak pasti. Cinta yang hakiki adalah berpaksikan pada DIA Sang Ilahi.
Dia juga sedar, kehidupan kini penuh dengan ujian Ilahi. Jika iman tidak terus diasah, maka dia akan tersungkur rebah. Jika akidah tidak terus dipelihara, maka dia akan terus bergelumang dengan dosa. Jika ilmu-Nya tidak terus diteroka, maka dia akan terus terleka dalam arus dunia. Dia juga sedar.
Perjalanannya masih jauh. Banyak lagi yang harus ditempuh. Jika ujian sebegini dia tidak mampu menempuh, apatah lagi ujian lain yang mewajibkan imannya untuk terus teguh.
Dia nekad. Segala rasa cinta yang hadir sebelum waktunya perlu segera diusir. Bimbang pula hatinya akan terus terusik. Kini dia memegang pada satu prinsip!
“Cinta itu fitrah. Ilmu itu amanah. Iman itu perlu diasah. Maksiat itu perlu dicegah!”
Ashadu Anla Ilahailallah Wa Ash Hadu Anna Muhammad Rasulullah. Hanya padaMu Tuhan, aku berserah…
No comments:
Post a Comment