Pelajar Kejuruteraan Elektrik Elektronik
Universiti Sungyunkwan, Suwon, South Korea.
"Sejak kebelakangan ni, ramai kawan2 kita dah berumah tanggakan?" ujar Khairiyah kepada saya.
"Alhamdulillah, pasti tenang hidup mereka yang sudah halal di sisi syarak ni," jawabku bersahaja.
"Betul, tapi tidak bagi saya," balas Khairiyah dengan suara sendu seolah-olah menggambarkan sebak di dadanya.
'Eh, Kenapa pula?" saya tertanya-tanya sendiri. Saya ingin membalas bertanya, tetapi melihat wajahnya yang cuba untuk meluahkan isi hati, saya membiarkan angin berlalu melegakan resah di jiwanya.
"Saya sebenarnya cemburu melihat mereka." Saya tersenyum sendiri.
Saya percaya, perasaan inilah yang dirasai oleh kita. Cinta itu satu fitrah. Setiap dari kita mahu merasainya. Merasai kehidupan berumah tangga. Merasai cinta dan nikmatnya dicintai. Itulah lumrah kehidupan.
Tetapi sejauh manakah rasa fitrah itu kita telah salurkan di tempat yang betul? Memang kita lihat betapa manis dan bahagianya pasangan yang sudah bernikah. Mereka berdua ke mana sahaja bagai berasa dalam dunia mereka tersendiri. Semuanya begitu indah dan manis pada pandangan mata. Ada tempat untuk saling mengadu masalah dan berkongsi kasih.
Bagaimana pula dengan sisi yang pahitnya? Pernahkah kita terfikir bagaimana keadaannya apabila hidup berdua? Si isteri sukakan kebersihan, si suami pula suka meletakkan kasut di merata-rata tempat. Begitu juga si suami pula sukakan masakan gulai ayam kampung, sedangkan si isteri sukakan lauk lemak cempedak! Bagaimana pula dengan mebiasakan diri meminta izin suami atau memberitahu isteri untuk berbuat apa sahaja? Keada diri terus berubah 180 degree. Kalau dahulu, kita boleh berbuat sesuka hati, kini perlu memikirkan keadaan dan pasangan. Begitu juga hak kepada keluarga, telah bertambah dan tanggungjawab pasangan tersebut meliputi dua buah keluarga, bukan satu lagi.
Adakah semua itu akan terus menjadi kebiasaan setelah berkahwin kelak? Seandainya kita tidak mempersiapkan diri dari sekarang, pastinya kehidupan berdua nanti akan menjadi sukar.
Kita perlu senaraikan perubahan yang ingin dilakukan. Jika solat lima waktu sudah dipenuhi, usahakan pula untuk solat di awal waktu. Biasakan diri dengan solat-solat sunat seperti dhuha atau solat sunat rawatib. Jika dahulu berpuasa hanya pada bulan Ramadhan, cuba biasakan diri untuk berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis. Jika selama ini hanya membaca al-Quran satu muka surat sehari, cuba tambah jadi dua muka surat sehari.
Begitu juga menyediakan diri dengan kemahiran seorang suami, mahupun isteri. Suami dengan kemandirian kewangan dan kepimpinan. Isteri dengan skil memasak, mengemas rumah dan menjaga anak.
Hakikatnya, setiap dari kita mengimpikan pasangan hidup yang soleh dan solehah. Namun adakah kita telah mempersiapkan diri untuk menjadi bakal pasangan yang soleh dan solehah? Kita perlu menyiapkan diri kita untuk melangkah ke alam perkahwinan walaupun masih belum ada calonnya lagi. Kelak, ketika saatnya telah tiba, insya-Allah kita telah bersedia untuk menjadi pasangan idaman buat bakal teman hidup kita itu.
Sabarlah menunggu
Janji Allah kan pasti,
Hadir tuk mendatang,
Menjemput hatimu,
Sabarlah menanti,
Usahlah ragu,
Kekasihkan datang,
Sesuai dengan iman di hati.
Ingatlah duhai sahabat, janji Allah itu pasti. Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula)..." (an-Nur:26)