17 July 2013

Alam



Alam ini membuka selembar cerita baru buat diriku. Hidupku serba daif, serba kekurangan. Aku memerlukan sesuatu supaya hidupku ini terasa lengkap. Sesuatu yang mampu mengingatkan aku akan kejadian diriku. Aku hanyalah seorang daie yang masih mentah, memerlukan tunjuk ajar serta bimbingan. Aku bagaikan orang buta yang kehilangan tongkat, perlu ada seseorang yang menuntunku.

Dalam sedar tak sedar, alam ini sering berbicara denganku, cuma aku tidak perasan akan keprihatinannya kepadaku. Dia berada disisiku, selalu. Alam ini merupakan cara Tuhan kita yang satu berkomunikasi dengan kita, hambanya. Dongak, lihatlah ke langit. Mana tiangnya? Tunduk, lihatlah ke laut. Mana dasarnya? Mataku dibuka, hatiku yang selama ini gelap kini terang-benderang. Betapa Allah menyayangiku. Betapa Allah menyayangi kita semua. Segala puji bagi Allah yang menguasai langit dan bumi, menciptakan matahari untuk menyinari siang, menciptakan bulan bagi menemani malam. 

Dalam banyak-banyak perkara yang diciptakan, aku paling tertarik dengan manusia. Keunikannya tidak terdapat pada mana-mana ciptaan lain yang berada di muka bumi ini. Kerana itulah aku sering menjadi pemerhati. Seronok sebenarnya memerhati perlakuan manusia. Melalui alam, aku belajar perkara baru mengenai manusia. 

Manusia ini kecil. 

Ibarat kita melihat semut, begitulah alam ini melihat kita. Cuma kita tidak sebaik semut. Semut tidak pernah berhenti daripada bertasbih, memuji keagungan Allah. Mereka tidak pernah melakukan kerosakan di muka bumi. Mereka tidak pernah melakukan maksiat, menyekutukan Allah dan sebagainya. Kita pula berbeza. Kontranya sangat ketara. Walaupun alam ini berbakti kepada kita setiap detik, namun kita tidak pernah menghargainya, malah jauh sekali mensyukurinya. 

Sumber alam ini terus kita gali dan cari, sehingga apa yang tinggal nanti hanyalah debu serta habuk. Apabila alam ini sudah musnah, barulah kita menyedari kesilapan kita. Ketika itu menangislah air mata darah sekalipun, keadan tidak akan berubah. Manusia sering menangisi apa yang telah tiada. Bagaimana ingin menyelamatkan alam ini? Gunalah mata hati. Dengan terbukanya mata hati, Insya Allah, Allah akan memberikan ilham-Nya kepada kita. Jalan penyelesaian akan menanti kita. 

Ketahuilah wahai jiwa-jiwa yang tenang, Allah memberikan kita akal untuk berfikir. Berfikir akan kejadian alam, berfikir akan kejadian manusia. Dari mana kita datang, dan kepada siapa kita akan dikembalikan. Semuanya sudah jelas bukan? Kalau tidak, sia-sialah Allah mengurniakan akal kepada kita. Akal bukan untuk digunakan untuk berfikir bagaimana ingin melakukan maksiat, bukan untuk digunakan untuk mengelakkan kehamilan setelah berzina dan sebagainya. Gunalah nikmat ini sebaik-baiknya. 

Dalam kita seronok dengan hiburan yang disajikan oleh syaitan, kita terlupa banyak perkara sebenarnya. Kita lupa Allah, akhirat, ibu ayah di rumah, adik-beradik, sahabat handai dan sebagainya. Pernahkah kita teringat akan mereka semasa kita sedang berseronok? 

Tidak bukan?

Cuba bayangkan, semasa kita sedang berseronok, bergelak sakan sambil bertepuk tangan, ajal datang menjemput. Ajal tidak akan pernah memberi petanda atau petunjuk yang bahawa ia akan datang kepada kita. Dalam sekelip mata, PUFF!, dan kita sudah berada di alam yang lain. Jangan pernah lupa akan azabnya ketika roh kita hendak keluar dari badan. Kalau diberikan pilihan, seseorang yang sudah mati itu jika ingin dihidupkan kembali, nescaya dia tidak akan mahu dihidupkan. Jika dia dihidupkan kembali, sudah semestinya dia akan merasai mati buat kali kedua, dan dia memang tidak mahu merasainya lagi! 

Pernah dengar azabnya Nabi kita ketika wafatnya? Itu Nabi Muhammad, kekasih Allah. Inikan pula kita, ummatnya, yang sering saja berbuat dosa dan alpa dalam mengingati-Nya. Sakitnya sakaratul maut itu tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata!

Tidak.

Mungkin boleh.

Boleh bayangkan kulit kita disiat-siat ketika kita dalam keadaan berjaga tanpa menggunakan ubat kebas? Kemudian luka itu pula disalut dengan garam. Dengan dua ayat ini saja akan membuatkan sesiapa yang membaca berdiri bulu romanya. Kesakitan sakaratul maut itu lebih menyakitkan lagi.
Aku yakin, setiap daripada kita selalu melakukan maksiat kepada-Nya, dalam kita sedar ataupun tidak. Bohong jika kita menidakkan semua itu, kerana kita semua manusia. 

Kata akar manusia dalam Bahasa Arab bermaksud lupa. Ya, kita sentiasa lupa bahawa kita ini merupakan hamba, hidup menumpang di bumi Allah dengan pinjaman, terhegeh-hegeh meminta udara, air, makanan, berjalan menongkah langit dan sebagainya. Kita juga sering kali terlupa, setelah segala nikmat itu kita terima, ucapan terima kasih tidak pernah meniti di bibir kita. Hebat sangatkah seseorang yang bergelar manusia?

Hebat?

Fikir kembali. 

Ada akal guna.

1 comment:

  1. Kambi Casino - Play at Kambi Online Casino
    Kambi Casino is a new online casino offering high quality slots and live casino games on a high-quality platform. We are proud 메리트 카지노 고객센터 to offer our customers หาเงินออนไลน์ an 온카지노

    ReplyDelete