09 July 2013

Hai Para Pendakwah. Bacalah. :)

Pendakwah. Sepatutnya istilah penat sudah tidak wujud lagi di dalam kamus hidupmu. Terlalu banyak lagi kerja yang perlu kamu lakukan. Jangan pernah putus asa. Kerana sedar atau tidak, dakwah adalah tanggungjawab kita yang sebenar benar di muka bumi ini. Allah telah mentakdirkan kita untuk berjalan di atas jalan ini bersama teman-teman seperjuangan.

Ingalah wahai pendakwah, kamu tidak pernah bersendirian. Allah tidak akan membiarkan hambaNya bersendirian di jalan dakwah. Bersabarlah. Mengadulah pada yang Esa. Dia rindu mendengar rintihanmu. Janganlah dikau berputus asa di atas jalan dakwah selagi nyawa tidak berpisah dengan jasad.

PENAT TIADA ERTI BAGIKU


Lemah kaki melangkah pada hari ini. PENAT. Itulah yang sering bermain di benak, sukar diluahkan.

Jam menunjukkan pukul 12 pagi. Masih awal lagi bagiku.Pelbagai tugasan dan amanah terpaksa ku pegang. Setiap hari tiada waktu rehat untukku. Walaupun sekadar melelapkan mata walau hanya 5 minit. Setiap hari,laju saja kaki melangkah ke sana sini untukku langsaikan tanggungjawab yang dipegang.


Inilah kehidupan aku. SIBUK. Tapi ku anggap ini adalah anugerah dari Allah SWT. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana Allah beri aku peluang untuk bekerja di jalan Allah. Biar penat, biar lelah, kerana ku yakin Allah sentiasa bersama di setiap langkah, di setiap hela nafasku, ada Allah yang sering membantu dan menjagaku.

Sudah cukup sebenarnya. Cukuplah nikmat sihat, iman, dan islam yang Allah anugerahkan ini. Ku terfikir, apa gunanya kalau tidak digunakan untuk berkhidmat di jalan Allah.

Sengal-sengal di kaki masih belum hilang. Sakit seluruh badan kerana tidak mendapatkan rehat yang secukupnya. Tetapi Allah masih beri aku kekuatan untuk melakukan kerja dan ibadah. Allah beri aku kefahaman yang luar biasa terhadap pelajaran.

BENAR janji Allah….Sekiranya kita membantu menegakkan agama Islam, bantu membawa panji-panji ISLAM, Allah bantu mempermudahkan urusan kita semua. Allah tidak pernah memungkiri janji. Teringat dengan kalamullah yang banyak memberi motivasi kepada sebuah perjuangan. Allah SWT merakamkan firmanNya yang bermaksud :-


“Jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah menolong kamu dan menetapkan kaki-kaki kamu.”
(Surah Muhammad ayat 7)


Dahulu kita melafazkan janji-janji setia, sanggup menghadapi dugaan dan cabaran serta mehnah dalam perjuangan. Tapi hari ini kita sering melafazkan kata-kata keluhan yang tiada penghujungnya.

Mana keyakinan kita pada janji-janji yang kita lafazkan dahulu? Bukankah kita sudah bersedia untuk menghadapi segala mehnah? Bukankah kita sudah tahu jalan-jalan perjuangan sememangnya tidak mudah. Pasti ada kesulitan dan kepayahan kerana memang itulah hakikat perjuangan.

Pahit tetapi manis. Itulah nikmat yang Allah kurniakan pada kita yang tidak dimilki oleh orang lain yang duduk di kerusi mendengar lagu, tidur di katil yang empuk tanpa risaukan umat Islam yang makin ditindas. Tenang dalam setiap kesulitan. Bahagia dalam mengharungi segala kepayahan. Itulah IMAN. Sanggup berkorban walau apa jua rintangan.

Ya. Inilah Iman. Bila kita telah merasai nikmat manisnya iman, tiada lagi halangan yang tidak dapat kita tempuhi. Tiada gunung yang tidak dapat kita daki. Tiada lautan yang tidak dapat kita renangi kerana kita YAKIN dengan Allah Taala. Kita yakin bahawa setiap peluh yang mengalir, setiap darah yang menitis pasti ada ganjaran dari Allah. Usah kita berputus asa namun yakinlah dengan Allah sepenuh tawakkal.

Sungguh perjuangan itu pahit kerana imbalan syurga itu terlalu manis!

In shaa Allah.
sekian
~A'A~

1 comment:

  1. salam...terbaiklah pepias pj..terus kan kerja dakwah selagi termampu

    ReplyDelete