10 May 2009

HAZRAT ABU TALHAH R.A. MEWAKAFKAN TANAH BELIAU KERANA TERLALAI DALAM SOLAT.

Suatu ketika Hazrat Abu Talhah r.a. sedang bersolat dalam kebunnya. Seekor burung telah terbang dan oleh sebab pohon-pohon di kebun itu rendang, burung itu tidak dapat menemui jalan keluar dengan cepat. Burung itu berterbangan ke sana ke mari sambil mencari jalan keluar. Beliau terpandang burung itu dan disebabkan oleh pandangannya itu, tumpuan hatinya beralih kepada burung itu dan mata beliau bergerak menurut burung itu.

Tiba-tiba beliau teringat akan solatnya dan beliau telah terlupa bilangan rakaat yang beliau telah kerjakan pada masa itu. Beliau begitu sedih kerana kebun itulah beliau terkena musibah tersebut yakni terlupa dalam solat. Dengan segera beliau pergi berjumpa Rasulullah S.A.W. dan menceritakan kisah yang sebenarnya, "Disebabkan kebun itu, saya terkena musibah yang sedemikian. Oleh sebab itu, saya serahkan kebun itu untuk jalan Allah S.W.T. Tuan belanjakanlah kebun itu mengikut jalan yang tuan suka.

Demikian juga telah berlaku pada zaman pemerintahan Hazrat Uthman r.a. Seorang sahabat Ansari r.a. sedang bersolat dalam kebunnya. Disebabkan buah yang banyak dan berat, tandan-tandan itu tunduk ke bawah. Beliau telah terpandang tandan-tandan itu dan beliau gembira melihat tandan-tandan yang dipenuhi buah sehingga menyebabkan hatinya tertumpu kepada tandan-tandan itu.

Oleh sebab itu, beliau tidak ingat lagi bilangan rakaat yang telah dilakukan. Kesedihan dan kerunsingan beliau begitu hebat sekali lalu beliau membuat keputusan nekad bahawa kebun itu tidak boleh dimilikinya lagi. Oleh sebab itu, beliau telah berjumpa Hazrat Uthman r.a. lalu berkata, "Saya ingin membelanjakan kebun ini di jalan Allah S.W.T. Lakukanlah apa-apa yang tuan suka".

Hazrat Uthman r.a. telah menjual kebun itu dengan harga lima puluh ribu dirham dan membelanjakan wang itu untuk kerja-kerja agama.(Muwatto' Imam Malik)

No comments:

Post a Comment